بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحَيْمِ
Meninjau-ninjau di lembah gersang itu. Kiri, kanan, depan, belakang. Rimbunan pohon cuma. Terdengar bunyi desiran dari belakang. Lantas ditoleh, kelihatan Sang Angin melambai-lambai dari jauh. Tersenyum, berinjak ke tepi memberi laluan kepada Sang Angin untuk melintas pergi. Tapi, Sang Angin tidak terus melepasi, berhenti sebentar sebelum melewati tubuhnya. Terasa tempias bayu nan dingin namun mendamaikan.
“Mahu ke mana engkau wahai Sang Angin?”
“Ke atas bukit sana.”
“Bukit mana?”
“Itu, di hadapanmu. Aku mahu ke puncak.”
“Uuuu.. Tingginya. Tak penatkah mendaki?”
“Penat dan lelah usah cerita. Tapi bila sampai ke puncak, aku rasa damai.”
“Ada apa di atas bukit itu? Hiburankah?”
“Hiburan itu perhiasan sementara dunia semata. Di atas sana lebih baik.”
“Di atas itu dingin amat. Tiada tumbuhan jua. Terlalu dingin, pokok-pokok juga tak sudi tumbuh di sana.”
“Ah, aku diperintahkan untuk mendaki ke atas. Itu tugasku kini. Walau payah, beban itu mesti dipikul.”
“Perintah? Siapa yang memerintahkan engkau untuk melakukan yang payah?”
“Perintah dari Pemerintah aku.”
Sang Angin tersenyum. Memandang sayup ke atas bukit. Senyum lagi. Ah, gila kau Sang Angin, melihat bukit tinggi yang belum tentu berjaya kau daki, kau sudah tersenyum lebar begini. Bila di atas, apakah bakal robek mulutmu tersenyum lebih lebar nantinya. Geli hati seketika membayangkan mulut Sang Angin dirobek senyuman tuannya. Tersenyum sama.
“Ah, kau senyum juga. Kau dapat lihat sekarang bukan? Bila di atas, kepuasan itu bakal menjadi milik kita kerana tugas yang berat itu berjaya kita laksanakan.”
Kita? Ah, perasan benar kau Sang Angin. Bila pula kukatakan mahu mengikutmu? Itu tugasmu, bukan tugasku. Mendaki bukit setinggi itu sudahnya meragut tenagaku. Mungkin di pertengahan bukit, aku sudah tak berdaya terus.
“Ayuh, kita akan dapat lihat sekalian macam benda dari atas sana. Kita juga dapat lihat kuasa mana yang paling berkuasa.”
“Kau dapat lihat semua itu?”
“Ya, marilah. Sekarang kau sudah tahu tentang tugas ini. Lantasnya, tugas ini menjadi tugasmu sudah. Biar kita pikul bersama. Beban jadi lebih mudah.”
Tugasku? Sudah! Ah, beratnya. Tapi kata Sang Angin, kalau berdua, beban jadi mudah.
“Selepas sampai ke atas sana, lantas apa?”
“Turun ke bawah semula. Memanjat bukit dan gunung yang lain pula.”
“Ah, begitu pula? Kenapa perlu dipanjat bukit sana gunung sini. Selama hidupku, aku menghuni di bawah jua. Hatiku bahagia.”
“Kan aku dah maklum tadi, ini tugas. Tugas kau juga tugas aku. Bahagia di bawah sini cuma sementara. Kau belum kenal erti bahagia sebenar.”
Ah, tunjuk pandai pula kau Sang Angin. Mana engkau tahu aku tak kenal erti bahagia. Mana engkau tahu engkau lebih arif tentangnya? Ah!
“Di atas sana lebih tidak membahagiakan. Perlu turun semula nantinya. Panjat yang lain pula. Turun semula. Panjat semula. Ah, penat! Mana mungkin aku bahagia.”
“Bahagia itu bukan sekarang. Panjat sana, turun sini, panjat lagi, turun lagi. Nanti waktu kan sampai, tika kau tahu tugasmu sudah ditamatkan oleh Pemerintah, tika itu kau akan berasa bahagia amat. Kerana selama sebelumnya, kau taat menjalankan tugas tanpa lesu. Percayalah, nantinya lebih bahagia. Sekarang memang payah. Tapi yang payah itu menjanjikan bahagia yang istimewa, tahu?”
“Buat apa nantinya di atas sana?”
“Ah, kau memang dasar manusia suka beralasan. Sudah ku katakan itu tugas.”
“Ya, benar. Tapi tugas perlu tujuan. Masakan mendaki berpenatan begitu tanpa alasan!”
Sang Angin terdiam. Ah, gasak kau Sang Angin. Terdiam engkau tidak tahu menjawab.
“Bukankah engkau kata tadi di atas itu dingin, tiada pohon sudi menabur benih. Yang di atas perlukan khidmatku. Andai aku menghembus bayuku, moga bumi atas yang gersang kurang lesunya. Harapnya bayuku membawa bersama benih-benih yang bakal mencambahkan rimbunan pohon di atas sana. Harap jua bayuku mengheret sama Sang Awan. Harapnya jua Sang Awan yang aku heret adalah Sang Awan yang dipenuhi titisan air yang bakal membasahi bumi gersang kerajaan atas bukit.”
“Kau hanya bermain dengan harapan. Apa mungkin bayumu berjaya mengheret Sang Awan? Jika ya, apa mungkin Sang Awan yang kau heret membawa titisan air? Jika berlaku benar, apakah sudi Sang Awan menaburkan siraman di atas sana?”
“Aku pasti berjaya mengheret Sang Awan. Dia sepertiku juga. Tahu dan arif akan tugas ini. Dia menanti aku membawanya malah.”
Punya kroni pula dia. Bagaimana sekarang? Apa harus dilakukan? Sayup-sayup melihat puncak bukit, terbayang diri yang separuh nyawa mendaki. Ah, menyesal. Menyesal kerana melalui denai ini tadi. Menyesal ditemukan dengan Sang Angin. Kini berasa serba tak kena.
“Kau baca Kitab?” tanya Sang Angin setelah melihatnya membisu.
“Kitab? Kitab yang mana?”
“Kitab kita cuma satu. Tiada dua dan tiga. Kitab Utama, tentu.”
“Er.. Pasti!”
“Kalau begitu kau pasti tahu kata-kata Pemerintah yang ini. Dia tak akan memerintah yang payah, dia tak akan membebani yang tak terbeban. Kita mampu. Ayuh!”
Sudah, Kitab mana pula? Kata-kata mana yang diperkatakan Sang Angin? Bingung.
“Biar aku berfikir dahulu. Kau pergilah. Aku menyusul dari belakang.” Ah, menyesal pula menabur harapan. Acuh tak acuh.
“Apa kau tidak akan menyesal? Kalau kita berdua, kerja jadi lebih mudah. Bila menyusul nanti, kau sendirian cuma. Payahnya bertambah. Sebab itu tanggungjawab ini perlu disebarkan kepada semua. Bukan untuk mengajak yang lain kepada yang payah, tapi sebab ini titah Pemerintah. Titah Pemerintah kepada semua yang diperintah. Kita semua. Agar nanti kita berkongsi bahagia itu. Bahagia kita bersama-sama.”
“Iya, aku mengerti. Tapi, ada kerja pelu dilaksakan. Aku menyusul nanti. Aku menyusul nanti.” Berdalih.
“Tugas apakah itu yang lebih penting dari tugas ini?”
Belum sempat dia bersuara, Sang Angin meningkah, “Aduhai manusia. Kau dijadikan Pemerintah. Kini kau melanggar arahannya. Tinggal saja!” Sang Angin berpaling dari melihat wajahnya. Betapa hambar riak Sang Angin.
Dia hanya sempat melihat Sang Angin berlalu pergi. Gasak kau Sang Angin. Pergilah engkau mendaki sendiri. Lama dia mendongak, tubuh Sang Angin mengecil, mengecil dan mengecil sampai tak kelihatan terus.
Senyum, tapi hatinya tak begitu lega. Mengapa pula kini? Bukankah tak perlu mendaki bukit sana gunung sini? Tapi kata Sang Angin, itu tanggungjawab. Ah, baik perjalanannya yang terbantut tadi diteruskan sahaja. Berpaling dan melangkah. Tapi ke mana langkah ini harus dibawa?
Baru dia berkira-kira di dalam hati, dia disapa. Siapa pula kali ini? Kacau!
“Orang muda!” Dia berpaling, malas-malas. Terlihat seorang tua bertongkat, bersusah payah mengerah kudrat mendaki bukit.
“Kau ada nampak Sang Angin?” Keruh muka Orang Tua itu, peluh membasahi seluruh wajahnya. Entah berapa lama agaknya Orang Tua ini cuba mendaki bukit nan tinggi. Bodoh! Kau sudah tua. Masakan kau mampu untuk mendakinya. Telah aku yang muda ini jua menolak.
“Sang Angin sudah berlalu pergi. Mungkin sudah sampai ke atas bukit. Mendaki juga kau Orang Tua?”
“Apa? Sang Angin sudah pergi? Aku menunggunya saban hari di sini, dari aku muda seperti kau sehingga jadi begini. Sia-sia. Benarlah kata mereka, Sang Angin cuma menyapa sekali. Peluang aku tiada lagi.” Bertambah keruh rupa Orang Tua itu. Ah, buruk benar memek muka Orang Tua bila berkerut begitu.
“Mengapa perlu bersusah payah mendaki. Sanggup menunggu selama itu untuk Sang Angin?”
“Itu tanggungjawab. Tanggungjawab.”
Taksub rupanya Orang Tua ini.
“Kau disapanya juga? Mengapa kau masih di sini? Kau menolak permintaannya? Ah, kau bodoh! Macam aku dulu. Bodoh kerana menolak!”
“Mendaki bukit setinggi ini. Payah. Tentu saja aku menolak!”
“Engkau ditipunya. Mendaki bersama Sang Angin masakan payah. Hanya perlu menanti dibawa terbang bersama. Kau lihat bukan tadi betapa cepat dia mendaki?”
Sejenak terdiam. Benar. Sekejap sahaja Sang Angin hilang dari pandangan. Tertipu dia, teringat kata-kata Sang Angin, kerja jadi mudah jika berdua. Tanggungjawab. Ya, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan.
“Orang Tua, kau mahu ke atas bukit sana?”
“Tentu, kerajaan atas bukit perlukan kita. Apabila Sang Angin membawa benih-benih dan Sang Awan, Sang Awan menabur hujan, pohon-pohon merimbun, khidmat kita diperlukan untuk menjaga pohon-pohon itu. Perlu dibaja, perlu dibajak. Itu rantaian tugas kita, menyambung tugas makhluk lainnya.”
“Ayuh!”
“Ayuh ke mana?” Dahi Orang Tua tambah berkerut.
“Ayuh mendaki. Pemerintah takkan memerintahkan yang payah. Juga, kalau berdua kerja jadi mudah.” Dia senyum.
Orang Tua senyum juga. Belum terlambat. Belum terlambat. Mereka mendongak ke atas. Tinggi. Mendaki.
“If not us, who? If not now, when?”
No comments:
Post a Comment